Sabtu, 31 Disember 2016

warkah yang tidak sampai

malam ini setelah sekian lama
ombak air mata menghanyutkan juga rindunya
dalam resah payah memujuk mata supaya segera lena
tidak juga ia lali dengan nyanyian lama mama
kupujuk diri segera menjadi dewasa
masih juga ragaku anaknya yang kecil
meronta meminta mama

kucari helaian kertas
lantas ku tulis warkah buatnya
basah kuyup ia dibasahi rindu
ku simpan warkah itu
dan ku kira rindu itu telah sampai ke daerah mama

sihatlah selalu mama
tabahlah sekuat hati mama
andai ada titisan air mata darimu
percayalah aku juga sama
aku juga rasa.

Isnin, 28 November 2016

kekasihku mari mendekat

kekasihku
tidak berapa lama lagi
aku akan pergi menghadap tuhanku
sementara itu
berikanlah aku bahumu
pinjamkan aku waktumu

kekasihku
marilah mendekat pada aku
bercerita dari gelap malam minggu
hingga cerah hari baru
bercinta dari cerah dinihari
hingga gelap malam hari
berkejaran di sekeliling rumah
dengan hilai tawa hingga lelah

kekasihku
suaplah aku makan dengan jemarimu
biarkan aku bermanja denganmu dalam waktu yang terbaki
biarkan aku berbaring didadamu
tahanlah sebentar kerana ianya tidak lama lagi
dan selepas itu kita akan berumah asing

kekasihku
sesudah itu
jangan ratapi aku
jagalah diri selalu

-Nov 2016-

Isnin, 7 November 2016

perangkap


aku terperangkap pada satu tempat
ianya usang dan gelap
tempat ini penuh dengan ketidaksempurnaan
sangat lama aku di sini
menaruh harapan yang semakin malap
tempat apakah ini?

dadaku terasa bergolak dan terhimpit
nafasku menjadi sempit
pandanganku terbatas
kiriku sempit
kananku dihimpit
seluruh tubuhku lumpuh

terlalu banyak yang aku simpan
terlalu banyak yang aku pendam
ia terkumpul menjadi satu yang padu
dari sebutir zarah yang satu
semakin membiak membina tempat sendiri
akhirnya tempat itu memakan aku
sedikit demi sedikit aku hancur
dan kali ini ia menjadi semakin parah
tempat yang dibina di dalam aku
kini memerangkap aku
aku rupanya terperangkap dalam ingatan sendiri!

Rabu, 3 Februari 2016

MAMA DAN PULUHAN TAHUN YANG LALU

keseorangan ini memandu aku lebih laju
menderu kepada puluhan tahun yang lalu

dan aku berhenti pada wajah muda yang ku tatap berpalu sepi
seorang wanita gigih tanpa suami
di kakinya diikat bersama dua anak
kemana saja dibawa pergi
dialah ibu,dialah bapa.

ketika itu umurku cuma enam
kakak pula sembilan
hari demi hari airmata dia tak pernah kering
hari demi hari aku di fahamkan pilu
ketabahan dia tiada keterbatasan
mencari rezeki untuk dua anak
wanita itu menelan segala kata dunia
wanita itu menghadam segala kata manusia
hina,cerca itu makanan dia
dan derita itu tak perlu kita ungkap satupersatu
cukup kita bertiga yang tahu

ketika itu umurku cuma enam
tapi aku faham derita dia
ketika itu umurku sikit
tapi banyak yang aku faham
banyak lagi yang aku ingat

tabahnya wanita itu
menjadikan anaknya pada hari ini memanjat gigih menara gading
tabahnya wanita itu
menjadikan anaknya tabah sekuat kakak mencari rezeki

wanita tabah itu tak pernah meninggalkan dua anak ketika badai
dia tak pernah alpa pada tanggungjawab
dibahunya memikul,di kaki diikat bersama..

tiga hari lagi
wanita itu genap 50
ombak badai dulu telah dia harung
segalanya berlalu
tapi dia masih ingat
aku masih tidak lupa saat dia menangis

ALLAH, tolong beri wanita itu umur panjang utk dibahagiakan
berikan kami waktu untuk membalas pengorbanan dia yang tidak pernah meninggalkan kami meski harus dia telan segala seksa
ALLAH tolong makbulkan segala doa wanita itu
kerana dalam kejayaanku pd hri ini ad dlm doanya
ALLAH,tolong pelihara wanita itu,kesatlah airmatanya,hapuskan derita dia

kerana wanita tabah itu
kerana wanita cantik itu
kerana wanita yang tidak pernah meninggalkan anaknya itu
adalah MAMA KU..

TERIMA KASIH MAMA

SELAMAT HARI JADI MAMA
7/FEB/1966




Isnin, 11 Januari 2016

pusara hati

kau telah aku pusarakan bertahun yang lalu
ketika tali kasih putus melepas simpul
hari demi hari kujenguk kau di pusara bernyawa
hari demi hari rindu bersarang dalam
keliru

ketika aku pusarakan kau
kau tidak tahu detak jantung ini berpalu sepi
bila rindu datang menjenguk
harus kuingat kau telah pergi

ketika aku menjenguk pusara
bersama mawar berduri
mawarnya kutabur dan durinya kutelan
hanya hitam kelabu yang timbul
berharap kau bangun memeluk aku dalam nafas baru

aku pusarakan kau kerana
kau bukan lagi engkau yang aku tahu
kau masih bernafas tapi dalam hembus hanyir.